Mantuka

Wednesday, November 5, 2014

Pelancaran Nissan X-Trail 2014

Orang ramai membanjiri Bilik Pameran Nissan di Beribi bagi menyaksikan lebih dekat pelancaran rasmi kereta terbaru Nissan X-Trail yang berlangsung minggu lepas. Pelancaran ini mencatatkan satu lagi sejarah baru bagi Syarikat Boustead Sendirian Berhad.

Pelancaran di Bilik Pameran Boustead Sendirian Berhad Beribi telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Boustead Sendirian Berhad, Dato Lim Beng Thai bersama Pengurus Jualan, Tan Teck Hock manakala pelancaran di cawangan Kuala Belait pula disempurnakan oleh Pengurus Eksekutif Boustead Sdn Bhd, Lim Jin Lee.

X-Trail 2014 ditampilkan dengan ruang dalaman yang lebih besar sekali gus memberikan keselesaan yang diinginkan kepada pemandu dan juga penumpang. Dengan berat bagi model terbaru ini 103 kilogram lebih ringan berbanding model sebelumnya berikutan badannya kini diperbuat daripada keluli berkualiti tinggi, ia turut menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar.

Reka bentuk terbaru yang ditampilkan baik dari segi dalaman dan luaran telah menjadikan model ini lebih menarik berbanding model sebelumnya. Bahagian hadapan X-Trail 2014 kini tampak lebih ganas dengan bentuk lampu LED terbaru yang lebih mencuri tumpuan. Bahagian belakang kereta ini juga ditampilkan dengan sentuhan terbaru sekali gus mewujudkan penampilannya yang lebih meyakinkan.

Nissan X-Trail 2014 juga dilengkapi dengan Kawalan Pemanduan Aktif ('Active Ride Control') yang berfungsi mengesan permukaan jalan di hadapan bagi mengenal pasti bentuk permukaan rata atau sebaliknya yang kemudian memberikan isyarat kepada kawalan suspensi bagi mengekalkan keseimbangan. Model terbaru ini juga ditampilkan dengan Sistem Brek Enjin Aktif ('Active Engine Brake') bagi mengawal tindakan membrek untuk mengurangkan kelajuan terutama apabila membelok.

Untuk mengetahui spesifikasi enjin dalam model terbaru X-Trail ini atau untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut bolehlah mengunjungi bilik pameran Boustead Sendirian Berhad semasa waktu pejabat.

Ikuti Mantuka di Facebook untuk gambar-gambar Pelancaran Nissan X-Trail 2014.