Mantuka

Thursday, April 9, 2015

Uji Pandu Geely LC 1.3 (Geely Panda)

Untuk berita versi Inggeris, klik di sini.

Setelah Geely memperkenalkan dua buah model MK 1.5 ke pasaran di Negara Brunei Darussalam, kali ini Syarikat Worldwide Motors Sendirian Berhad selaku pengedar tunggal jenama Geely memperkenalkan sebuah lagi model ala Mini bagi kegunaan perjalanan di Bandaraya yang mempunyai bentuk badan comel dan menawan.

Kehadiran Geely LC atau dipanggil sebagai Geely Panda melalui Syarikat tersebut adalah penambahan model berjaya dari model tersebut dan kini diperkenalkan kepada penulis sebagai sebuah kereta hatchback yang boleh digunakan bagi perjalanan Bandar dan penggunaan pengangkutan terutama bagi pelajar-pelajar Kolej dan Universiti yang mempunyai masalah ruang letak kereta.

Semasa membuat pemeriksaan kereta tersebut dalam uji pandu yang diberikan kepada penulis, melihat dari jauh sudah memperlihatkan dari segi reka bentuk ianya sangat cantik selaras seperti rupa seekor Panda.

Penampilan ini ketara dari garis hitam disekeliling lampu depan kereta, komposisi gril dan bumper mengikut penampilan haiwan Panda. Selain itu, dibahagian belakang mempamerkan lampu brek seperti tapak kaki Panda dengan susunan lampu kecil seperti jari haiwan tersebut.

Kereta Geely Panda 1.3 hanya disediakan dalam transmisi Manual untuk memberi kemudahan kepada pemiliknya disamping menjimat minyak. Dibahagian dalamannya pula, Geely Panda dipersembahkan dengan dalaman yang cantik dan nyaman dilihat, tambahan lagi, kereta ini mempunyai ruang yang luas bagi pemandu dan penumpang depan.

Dalam perjalanan dari Bilik Pameran Worldwide Motors Sdn Bhd menuju ke Jerudong kereta ini menunjukkan sebuah kereta mudah untuk di kawal terutama dari segi pengawalan stering dan penukaran gear yang licin. Perjalanan yang mengambil masa satu jam dihiburkan dengan kelengkapan Pemain Radio dan CD dengan empat penjuru speaker, setentunya Penghawa dingin dan indikasi minyak digital.

Penukaran dari gear pertama ke gear selanjutnya tidak menjadi masalah, ianya sangat mudah untuk diurus dan pecutan gear pertama yang begitu licin walaupun kereta tersebut mempunyai transmisi manual dimuatkan enjin 1.3 Liter L4, DOHC, 16V jenis enjin Timing Belt.

Perjalanan melalui Jalan Katok yang mempunyai perjalanan yang berbukit-bukau tetapi LC 1.3 masih mampu memberi kuasa yang secukupnya untuk berjalan secara sempurna, ini kerana badan ringan menjadi salah satu peranan penting dalam model-model jenama Geely. Apa yang membuktikan kereta ini sangat selesa sistem suspension dimuatkan dengan jenama Macpherson membuatkan kereta begitu bergegar dalam perjalanan tidak menentu.

Tetapi soalan yang penting ialah, adakah Geely LC 1.3 selamat untuk dipandu? Jawapannya sudah tentu, oleh kerana kereta ini dilengkapi dengan sistem keselamatan ABS+EBD, pintu belakang dengan sistem keselamatan kanak-kanak, sistem anti-pencuri dan juga dual air bag yang membuatkan Geely Panda telah dianugerahkan sebanyak lima bintang dalam pemeriksaan uji keselamatan oleh China New Car Assessment Program (C-NCAP). Bahkan, kereta ini disebut sebagai 'the safest minicar in China'. 

Menurut maklumat yang diberikan oleh Worldwide motors Sdn Bhd, kereta empat silinder ini mempunyai kuasa mencapai 64kw/6000rpm yang mampu mencapai kepada lebih 80 kuasa kuda.

Jika ingin memiliki kereta comel, mini, mudah dengan harga terjangkau, Geely LC 1.3 adalah kereta sesuai untuk digunakan. Untuk keterangan lanjut orang ramai boleh mengunjungi Bilik Pameran Worldwide Motors Sdn Bhd yang terletak di Beribi, Gadong atau hubungi di talian2453681, 2427052, 2428293 untuk menempah sesi uji pandu.