Mantuka

Insurans Islam Taib

Wednesday, October 24, 2012

2013 sistem Demerit lebih ketat di Brunei Darussalam

Pemandu-pemandu yang cuai atau yang sering melanggar peraturan lalu lintas khususnya yang telah melakukan kesalahan lalu lintas yang serius mungkin akan berharap dengan hukuman berganda atau double penalties, di mahkamah dalam situasi yang tertentu apabila sistem mata demerit akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Bermula pertengahan 2013, bukan sahaja pesalah-pesalah lalu lintas akan berhadapan dengan kesalahan yang boleh dikenakan kompaun tetapi mereka juga mungkin akan berhadapan dengan larangan memandu atau penggantungan bagi tempoh sekurang-kurang 3 bulan hingga 12 bulan dan juga akan berhadapan dengan lesen memandu mereka ditarik balik apabila Sistem Demerit Points akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada pertengahan 2013 nanti.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Khalid bin Haji Mustafa dalam temu bual bersama Media Permata selepas taklimat mengenai Pelaksanaan Sistem Mata Demerit yang diadakan di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan lanjut bahawa dalam keadaan atau senario yang tertentu, pesalah lalu lintas mungkin akan berhadapan dengan hukuman berganda namun begitu situasi itu belum dapat dikenal pasti tetapi beliau menekankan bahawa kemungkinan berlakunya kejadian hukuman berganda berkenaan tidak dapat ditolak.
Sementara itu, mengulas mengenai pertanyaan berhubungan dengan jika pesalah itu memandu kereta yang bukan miliknya, apakah pemandu itu atau pemilik kereta berkenaan akan didenda, Haji Khalid berkata bahawa di bawah sistem mata demerit itu, pemandu akan dikenakan denda namun jika pemandu tidak dapat dikenal pasti oleh kamera, pemilik kereta berkenaan akan bertanggungjawab mengenai perkara.

Mengulas mengenai dengan pelaksanaan Fasa 1, sistem mata demerit, beliau berkata bahawa sistem mata demerit akan dilaksanakan seperti dijadualkan pada pertengahan April sebelum Mei nanti di mana peralatan PDA dijangka akan tiba dari Singapura sebelum pelaksanaan sistem itu nanti.

Haji Khalid ketika menjawab persoalan mengenai dengan jerayawara yang telah diadakan di Daerah Brunei Muara, Daerah Belait dan Daerah Tutong, berkata bahawa jerayawara berkenaan diadakan untuk mendapatkan maklum balas dari orang ramai mengenai dengan pelaksanaan sistem mata demerit.

Beliau berkata bahawa pandangan dan cadangan dari orang ramai adalah penting untuk memastikan kelemahan pada sistem itu namun begitu beliau berkata bahawa setiap cadangan perlu diteliti bersama dengan pihak-pihak yang berkenaan kerana bukan semua pandangan dan cadangan dapat digunapakai.

Sistem demerit points merupakan satu sistem yang bertujuan untuk memastikan pemandu lebih berdisiplin, Sistem berkenaan juga boleh membantu pihak penguat kuasa mengenal pasti pemandu yang berisiko tinggi dan mempunyai sikap pemanduan yang sering melanggar peraturan-peraturan jalan raya yang boleh menyebabkan kemalangan. Melalui sistem berkenaan, pemandu-pemandu yang melanggar peraturan akan diberikan demerit points yang boleh membawa penggantungan atau pembatalan lesen memandu mengikut berat kesalahan yang dilakukan.