Oleh Adiman HT
Gambar Courtesy dari Hyundai Worldwide
Klik di sini untuk berita versi Inggeris
Dalam usaha untuk memperkayakan sumber pembangunan kenderaannya untuk membina automobil-automobil bertaraf dunia, Hyundai Motor Company telah melantik Fayez Abdul Rahman sebagai Naib Presiden Pembangunan Seni Bina Genesis yang mana beliau akan menerajui rancangan bagi spesifikasi dan prestasi kenderaan dari peringkat terawal dalam pembangunan kenderaan.
Fayez Abdul Rahman, 58 sebelum ini menerajui pembangunan seni bina konsep dan platform bagi beberapa barisan model di BMW AG di Jerman termasuk 7 Series, model-model X dan kenderaan berprestasi tinggi jenama M.
Beliau akan menggunakan pengalamannya untuk menerajui proses-proses pembangunan seni bina kenderaan baru yang pada mulanya akan memberi tumpuan terhadap peningkatan prestasi dan kualiti bagi model-model jenama Genesis.
Fungsi pembangunan itu memfokuskan terhadap mengoptimumkan spesifikasi-spesifikasi, sistem-sistem elektronik dan pengalaman pengguna (UX) dari peringkat-peringkat awal dalam platform rekaan kenderaan. Proses-proses pembangunan seni bina kenderaan baru itu juga secara perlahan-lahan akan diaplikasikan terhadap kenderaan-kenderaan Hyundai Motor Group yang lainnya bagi membolehkannya bersaing secara langsung dengan pengeluar-pengeluar kereta premium terkemuka di Eropah.
“Saya begitu teruja untuk menjadi sebahagian daripada organisasi dinamik ini dan kagum dengan kemajuan luar biasa yang dicapai oleh Hyundai Motor Group sejak sedekad lepas. Kami ingin membangunkan seni bina kenderaan yang fleksibel dan berorientasikan masa depan yang begitu unik bagi Hyundai Motor Group bagi menjamin daya saing terutamanya dalam bidang-bidang prestasi dan kualiti kenderaan,” ujar Fayez Abdul Rahman yang menyertai Hyundai Motor Group pada 1 November.
“Fayez Abdul Rahman merupakan pakar kejuruteraan automotif bertaraf dunia yang telah membangun dan menerajui rancangan platform dan seni bina bagi model-model berprestasi dan mewah,” ulas Eksekutif Naib Presiden Hyundai Motor Group, Albert Biermann yang menerajui pembangunan kenderaan prestasi dan prestasi tinggi.
Beliau menambah bahawa pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki oleh Fayez Abdul Rahman akan membantu mempercepatkan pembangunan model-model baru Hyundai Motor Group dan memainkan peranan penting dalam menaik taraf teknologi syarikat untuk melangkah lebih jauh ke arah matlamat syarikat dalam mencipta kenderaan-kenderaan terkemuka.
Fayez Abdul Rahman seorang warganegara Jerman menyertai BMW dalam tahun 1986 sebagi jurutera CAS/CAD. Dalam tahun 1991, beliau mula membangunkan konsep-konsep kenderaan dan dalam tahun 1996 beliau menerajui perancangan konsep dan pembangunan seni bina bagi model sedan perdana BMW 7 Series. Di antara 2001 hingga 2008, beliau mempunyai peranan penting dalam pembangunan konsep-konsep model X dan seni bina barisan produk, termasuk pembangunan platform dan ujian.
Selain itu, dalam tahun 2008, beliau dilantik sebagai Pengurus Jabatan BMW M Total Vehicle Architecture and Integration yang bertanggungjawab memandu seni bina kenderaan bagi kesemua barisan jenama prestasi, di samping menerajui pusat ujian BMW Nurburgring. Dalam tahun 2015, beliau diberikan tanggungjawab bagi M Equipment, pakej-pakej M sport, kenderaan prestasi M dan BMW Individual bagi kesemua barisan produk dan kenderaan BMW.