Mantuka

Insurans Islam Taib

Tuesday, November 29, 2016

Syarikat Sewa kereta Better dilancarkan semalam

Pelancaran Syarikat sewa kereta Better membawa sejarah baru kepada negara Brunei Darussalam yang menyediakan tawaran penggunaan kereta sewa dengan pelabgaai kemudahaan dan manfaat.

Pelancaran Better disempurnakan semalam oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Laila Jasa Haji Mustafa bin Haji Sirat pada di Pusat Membeli Belah Times Square Berakas, yang mana diteruskan dengan Better Ekspo sehingga 4 Disember ini.
      
Hadir sama di majlis pelancaran berkenaan ialah pengerusi Autoriti Perlesenan Pengangkutan Bermotor, pegawai dan kakitangan kanan kerajaan, ketua-ketua pegawai eksekutif dan wakil daripada pengedar kereta.
       
Ekspo yang turut dilancarkan hari ini itu mempamerkan pelbagai jenis jenama kereta mewah dan sederhana termasuk Audi, BMW, Toyota, Hyundai dan Volkswagen.
        
Menurut Pengarah Urusan BIBD dan juga selaku Pengerusi Better, Mobashar Khohar, model perniagaan Better meskipun masih baru di Negara Brunei Darussalam akan tetapi sudah sekian lama wujud dan terkenal di negara-negara peneraju seperti United Kingdom memandangkan peraturannya sangat fleksibel untuk pelanggan dan rendah bayaran.
         
Syarikat Better ini antara lain bertujuan untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggannya dengan pulangan yang menguntungkan serta tidak merugikan para penyewa.
         
Dengan menyediakan beberapa pakej, para penyewa juga berpeluang untuk memilih kereta-kereta yang mereka kehendaki tanpa melalui pengurusan rumit, hanya cukup dengan menyediakan kad pengenalan pintar, kad kredit dan seterusnya memandu kereta yang disukai.
            
Pelan sewa kereta Better juga membolehkan para penyewa memilih pakej sewaan yang terbaik bagi mereka. Dengan sistem pelan Pay-As-You-Go, pelanggan tidak akan terikat dan mereka dengan mudah untuk memilih berapa lama pelan sewa yang diperlukan daripada Syarikat Better dengan Pelan ‘Mileage’ yang sesuai untuk mereka.
  
Beliau juga berkata, setakat ini produk syarikat Better telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada korporat swasta dan kerajaan, kedutaan dan juga penduduk Negara Brunei Darussalam.

“Insya-Allah, Better juga sedang giat mengkaji untuk melebarkan dan meluaskan lagi model perniagaan ke pasaran antarabangsa,” tambahnya.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Syarikat Better, sistem penyewaan kereta Better adalah sangat mudah, pelanggan tidak lagi perlu melalui pelbagai urusan. Syarikat Better juga menawarkan pengurusan penyelenggaraan kereta seperti memastikan tayar dalam keadaan selamat, pengurusan insurans dan banyak lagi.

Media Permata juga berkesempatan menemu bual salah seorang pelanggan, Dayangku Alliwaty Ashanti binti Pengiran Bahar Ali yang berkata, tawaran Syarikat Better memang sangat bagus bagi mereka yang memerlukan kereta tanpa perlu bersusah payah menyediakan pelbagai surat-suratan untuk kegunaan bank.

"Dengan syarikat Better, hanya memerlukan beberapa langkah mudah sahaja. Segala urusan penyelenggaraan akan ditanggung sepenuhnya oleh Syarikat Better, saya tidak perlu untuk bersusah payah menguruskan pengurusan insurans dan sebagainya. Dan ini amat menyenangkan dan memudahkan urusan seharian saya,” ujar beliau.