Mantuka

Insurans Islam Taib

Friday, March 4, 2016

Dayang Maizifa Arissa menang Toyota Wigo di BITC 2016



  
Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun berjaya memiliki kereta Toyota Wigo baru apabila dipilih sebagai pemenang utama Cabutan Bertuah yang diadakan sebagai penutup Pameran Perdagangan dan Pengguna Antarabangsa (BITC) 2016 di BRIDEX, Jerudong, malam ini.

Dayang Maizifa Arissa binti Mydan terpilih daripada 40,000 penyertaan dan menewaskan sembilan orang peserta cabutan lain dalam senarai pendek untuk memegang kereta berkenaan.Beliau yang baru sahaja meraikan ulang tahunnya yang ke-18 empat bulan lalu kini sedang dalam proses mendapatkan lesen. 

Menurutnya, beliau bercadang untuk membeli kereta terpakai daripada ibu saudaranya, namun kini tuah memihaknya dan beliau tidak perlu bimbang membelanjakan wang untuk membeli kereta.

Manakala itu, sembilan orang peserta lain membawa pulang hadiah-hadiah sagu hati bersama 72 orang peserta lain lagi yang menerima pelbagai hadiah.Pada majlis itu, cabutan dan penyampaian hadiah-hadiah utama telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Cityneon. 

Antara hadiah-hadiah utama lain termasuk tiket-tiket penerbangan Royal Brunei (RB), dengan hadiah kedua menawarkan tiket penerbangan ke Dubai, tempat ketiga ke Jakarta dan tempat keempat ke Kuala Lumpur. Hadiah-hadiah sagu hati lain termasuk barangan pengguna termasuk gajet-gajet, barangan elektronik, pakaian dan produk kosmetik. 

Hadiah-hadiah lain disampaikan oleh para perwakilan daripada penaja-penaja acara berkenaan.

Dalam pada itu, petang tadi, Dato Ting Jack Chai turut menyampaikan ucapan penghargaan bagi melabuhkan tirai pameran lima hari anjuran Cityneon berkenaan.Semasa berucap di hadapan wakil-wakil yang menyertai pameran berkenaan, beliau turut mengumumkan BITC 2017 yang menurutnya dijangka diadakan pada 30 Ogos hingga 3 September 2017 di tempat yang sama.

Beliau menasihatkan para peserta yang berminat untuk menyertai acara tahun hadapan akan dapat menyediakan contoh produk-produk jualan mereka seawal tiga bulan sebelum acara berlangsung.
           
"Ini adalah bagi penjual-penjual barangan makanan, kosmetik, suplemen dan barangan yang memerlukan pengesahan daripada pihak-pihak tertentu di negara ini bagi mengelakkan sebarang kesulitan untuk peniaga tersebut mendapatkan pengesahan daripada pihak berwajib," jelasnya.

Majlis penutup itu turut diserikan dengan tayangan video sepanjang acara itu berlangsung.