Mantuka

Insurans Islam Taib

Saturday, February 21, 2015

Ekspo Promosi Pad Motor di KB Sentral

Ekspo Promosi Pad Motor yang diadakan di pusat membeli-belah KB Sentral, bermula hari ini, telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat Daerah Belait, apabila tiga buah daripada kereta yang dipromosikan telah terjual kelmarin.

Menurut Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Time Square Properties, Awang Hambali bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh, hari ini, rancangan untuk mengadakan promosi seterusnya di Time Square, Bandar Seri Begawan pada 21 Februari terpaksa ditunda sehingga ketibaan kereta-kereta yang lain bulan depan.

Menurutnya, promosi bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-31 Tahun dan sambutan Tahun Baru Cina 2015 itu adalah di luar jangkaan apabila respons pelanggan-pelanggan dari Kuala Belait begitu menggalakkan, malah sebelum bermulanya promosi hari ini, tiga buah kereta mewah telah dijual.

“Tiga buah kereta Nissan GTR, Maserati Quattroporte s.47 dan Mercedes S350 Sedan telah dijual semasa kami baru membuat persiapan kelmarin, bagi hari pertama promosi hari ini.

“Kami menyasarkan akan menjual 25 hingga 30 buah kereta lagi dalam masa seminggu promosi kami adakan di sini,” kata Awang Hambali.

Sejumlah 30 buah kereta dalam simpanan Pad Motor daripada pelbagai model termasuk Toyota Vellfire, Honda dan Mini Cooper telah dibawa bagi Ekspo Promosi di KB Sentral.


Ekspo tersebut dijangka dilanjutkan sehingga 25 Februari ini memandangkan sambutan yang menggalakkan.

Pad Motor merupakan syarikat penjual kereta terpakai yang diimport dari Jepun dan Eropah. Kereta-kereta yang dibawa masuk adalah selektif serta hampir seperti yang baru, terutama sekali yang didatangkan dari  Eropah dengan catatan rekod perjalanan yang rendah.

“Sepanjang ekspo promosi ini, kami akan memberikan harga yang berbeza daripada harga biasa, dan orang ramai berpeluang membuat pilihan mereka,” ujar Awang Hambali.

Turut serta dalam ekspo berkenaan adalah Bank Baiduri untuk memberikan perkhidmatan memudahkan para pelanggan yang berhajat untuk membeli kereta semasa ekspo promosi itu.


Ikuti Mantuka di Facebook untuk gambar-gambar Ekspo Pad Motors.