Mantuka

Thursday, January 29, 2015

Rumah Milik Awang Ali Suhif

Tanpa di sangka, tuah memang menyebelahi Awang Ali Suhif bin Mohammad apabila dengan sekali percubaan sahaja beliau memilih kunci yang tepat dan berjaya untuk membuka pintu rumah impiannya dan memenangi hadiah utama Cabutan Utama KIA bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Syarikat Grand Motors Sdn Bhd ke-30 yang berlangsung di Hotel Orchid Garden, Anggerek Desa pada 24 Januari 2015 lalu.

Penyampaian rasmi telah diadakan pada 25hb Januari 2015 di Kg. Mulaut
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah utama cabutan utama berkenaan ialah Duta Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Cho Won-myung.

Di dalam pusingan akhir bagi menentukan pemenang bertuah hadiah utama sebuah rumah itu, tiga orang peserta pusingan akhir bertanding iaitu Awang Suhif Ali, Dayang Mi Aei Kim Cho dan Dayang Nurul Norhazwani binti Saini dimana Awang Shuif Ali merupakan peserta pertama yang membuat pilihan dari tiga set kunci dan pilihannya ternyata tepat apabila kunci yang dipilih berjaya untuk membuka pintu rumah impian baginya.

Hadiah rumah itu disampaikan kepada Awang Suhif Ali oleh TYT Cho yang turut berkongsi kegembiraan dan mengucapkan tahniah di atas kemenangannya itu.

Kemenangan itu ternyata lebih indah lagi apabila ayahnya berada di majlis itu untuk menyaksikannya memenangi hadiah berupa sebuah rumah. Awang Suhif Ali berkata amat terharu dan gembira di atas kemenangannya itu. Beliau juga berkata akan berpindah ke rumah itu bersama keluarga dan ia benar-benar satu impian yang indah baginya.

Manakala itu, bagi Dayang Mi Aei dan Dayang Nurul Norhazwani, mereka pulang dengan hadiah yang tidak kurang hebatnya dimana setiap seorang memenangi hadiah berupa sebuah kereta setiap seorang. Dayang Mi Aei membawa pulang sebuah kereta KIA Optima manakala Dayang Nurul Norhazwani membawa pulang hadiah sebuah kereta KIA Cerato.

Syarikat Grand Motors juga tidak lupa untuk memberikan hadiah saguhati kepada 97 pelanggan yang hadir pada malam itu turut membawa balik gajet jenama Apple kepada empat pelanggan, wang tunai B$300 kepada 23 pelanggan dan B$100 kepada 70 pelanggan lainnya.

Terdahulu dari itu, Pengarah Urusan Grand Motors, Frankie Ho dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada semua pelanggan Grand Motors khususnya para pelanggan kereta KIA di atas sokongan yang diberikan dan kepercayaan terhadap jenama KIA serta memilih kereta KIA sebagai kereta pilihan mereka.

Beliau berkata bahawa sejak promosi cabutan utama KIA itu diadakan bagi tempoh enam bulan iaitu bermula 1 Julai hingga 31 Disember lalu, sebanyak kira-kira 1,700 buah kenderaan KIA telah dijual dalam tempoh itu.

Jumlah itu menunjukkan bahawa kenderaan KIA memang mendapat tempat di hati pelanggan Brunei dan ia juga sekali gus menjadikan KIA diantara jenaman kenderaan pilihan bagi pasaran kereta di Brunei.