Mantuka

Insurans Islam Taib

Wednesday, November 26, 2014

Teknologi Autodesk Lonjak Reka Bentuk Proton

Gambar fail menunjukkan kereta Saga SV keluaran Proton - Bernama
Berita courtesy dari Media Permata

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) – Proton Holdings Bhd (Proton) terbukti mendapat manfaat hasil penggunaan teknologi Autodesk Digital Prototyping yang melonjakkan proses reka bentuk automotif selain penghasilan satu identiti rekaan lebih ketara bagi model terbaharunya.

Teknologi prototaip digital oleh peneraju terkemuka dunia dalam perisian rekaan tiga dimensi (3D), Autodesk Inc, membolehkan syarikat menghasilkan reka bentuk, visual dan teknik simulasi bagi pengeluaran produk lebih cekap serta kos efektif.

Kelebihan lain termasuk memberi kuasa dan fleksibiliti diperlukan pengeluar untuk mengatasi cabaran perniagaan paling getir dalam usaha pembangunan produk.

Kaedah penyelesaian prototaip digital itu sudah digunakan bagi reka bentuk model terbaharu Proton seperti Suprima S, Preve, Exora, Saga FLX, Persona, Satria Neo dan terbaharu, Proton Iriz.

Ia terbukti membantu Proton menjimatkan masa penghasilan reka bentuk kereta sebanyak 20 peratus, khususnya bagi model baharu yang memakan masa 18 hingga 24 bulan.

Sebanyak 30 peratus fasa awal diperuntukkan bagi usaha reka bentuk disusuli melakukan perubahan pada fasa kemudian yang lazimnya membabitkan penalti lebih tinggi.

Proton berjaya mengurangkan masa dan kos skala pembangunan model baharu sebanyak 65 peratus menerusi penghasilan Proton Preve yang dilancarkan pada 2013.

Ketua Pereka Bentuk Proton, Azlan Othman berkata syarikat pengeluar kereta berkenaan perlu menggunakan teknologi rekaan dan visual terbaik bagi kenderaannya sebelum dihasilkan dalam bentuk fizikal.

“Teknologi Autodesk Digital Prototyping ini terbukti memantapkan keupayaan rekaan kami bagi meneroka pelbagai inovasi reka bentuk,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Autodesk Asean, V. R. Srivatsan pula menganggap Asean berperanan penting dalam bidang industri automotif dan dijangka muncul pasaran automotif kelima terbesar dunia menjelang 2019.

“Kami mengunjurkan masa depan pengeluaran global lebih menarik dan bertuah menjadi sebahagian daripada kejayaan Proton. Tidak mustahil industri automotif Malaysia muncul sebagai hab serantau hasil pelaburan dalam teknologi serta kejuruteraan,” katanya.