Mantuka

Saturday, October 4, 2014

Uji Pandu BMW X5 xDrive35i

Gambar Courtesy dari BMW Brunei



Info Courtesy dari Qaf Auto (BMW Brunei)

Jenama BMW tidak asing lagi dinegara Brunei Darussalam, sebuah jenama yang terkenal dengan kemewahan, elegan dan keanggunan yang memikat hati.

BMW Asia dan QAF Auto Sdn Bhd baru-baru menambah barisan model terbaru mereka dengan memperkenalkan jenerasi ketiga BMW X5, sebuah kereta yang direka sebagai Kenderaan Aktiviti Sport (Sports Activity Vehicle) SAV direka khas untuk memberi apa jua permintaan. 

Ianya juga menandakan kereta jenis SAV pertama yang berjaya dijual lebih 1.3 juta unit seluruh dunia sejak jenerasi pertama X5 dilancarkan. Dengan adanya kemunculan kereta mewah terbaru ini dipasaran Brunei Darussalam membuka tirai baru dalam versi kereta berprestasi tinggi. 


Gambar Courtesy dari BMW Brunei


BMW X5 terbaru menyediakan tiga jenis model iaitu Kuasa ‘V-8 BMW X5 x Drive50i’ dengan maksimum 450 kuasa kuda, manakala 306 kuasa kuda bagi model enjin enam silinder petrol ‘BMW X5 xdrive35i’ dan enam silinder in-line kuasa diesel ‘BMW X5 xDrive30d’ mempunyai kuasa sehingga 258 kuasa kuda.

Dalam pengenalan pertama ini, penulis telah dijemput khas untuk membuat uji pandu kereta BMW X5 model xDrive35i Pure Excellence sebuah model yang dikatakan kereta premium tertinggi di pasaran Brunei dikalangan model-model X5 lain. 

Sebelum memulakan perjalan Eksekutif Pemasaran QAF Auto Sdn Bhd, Salwa Mustapa menerangkan sedikit sebanyak mengenai fungsi-fungsi yang ada didalam kereta berkenaan. Dalam pengalaman penulis sendiri, dalaman X5 SAV premium ini menawarkan persekitaran mewah dan serba boleh, dalam kabin turut dilengkapi ambien mewah kerana kelengkapan fungsi-fungsi yang ada dan ruang yang begitu luas bagi sebuah BMW.

Menyentuh kemasan dalaman pula, ianya dapat dirasakan dihasilkan menggunakan kombinasi bahan berkualiti tinggi, sekali gus menawarkan kualiti yang tiada tandingan untuk menyerlahkan keanggunan dan ciri-ciri sportif. BMW X5 terbaru ini turut dilengkapi inovasi teknologi termaju daripada BMW Efficient Dynamics dan BMW Connected Drive.

Menghidupkan enjin kereta dengan hanya menekan punat menghidupkan dan mematikan enjin, BMW X5 xDrive35i ini dilengkapi dengan enjin petrol enam silinder sebaris generasi terbaru yang dipertingkatkan. Penulis juga diberitahu bahawa BMW X5 model xDrive35i mempunyai kuasa buas yang mencapai hampir 300 kuasa kuda, tetapi pada waktu yang sama kereta ini menawarkan penggunaan bahan api lebih rendah.

Gambar Courtesy dari BMW Brunei
Semasa dalam perjalanan dari bilik pameran QAF Auto Sdn Bhd menuju ke Kampong Telanai, perjalanan terasa selesa dan pemandangan yang luas disebabkan kereta yang berbadan besar, perjalanan lancar dan membuat lencongan di kawasan Beribi memberi kawalan responsive, dari segi penukaran gear yang tidak terasa perubahannya adalah satu kelebihan bagi X5, selain teknologi transmisi 8 kelajuan yang dilengkapi dengan Steptronic teknologi, X5 juga mempunyai sistem penjimatan minyak yang boleh diaktifkan menerusi mode ECO PRO dengan menekan butang Kawalan Driving Experience sebagai ciri standard. Walaupun menaiki dikawasan bukit yang tinggi memasuki Kampong Telanai, X5 ini tidak sedikit pun terasa kelemahan dari segi enjinnya bahkan menaiki bukit tidak menjadi masalah.

Apa yang menarik perhatian di dalam kereta ini turut didatangkan dengan Sistem Navigasi Profesional iaitu sistem Route-Ahead Assistant bersuara untuk mengenal pasti laluan tepat memberi perjalanan terbaik untuk menuju ke destinasi yang diingini.

Apa yang difahamkan, QAF Auto turut memperkenalkan kelengkapan Suspensi Adaptive Comfort didalam kereta tersebut yang diperkenalkan pada model baharu ini bagi menawarkan kombinasi dinamik pemanduan dan keselesaan terbaik.

Ini termasuk fungsi Dynamic Damper Control dan suspensi belakang pnuematik dengan ciri pelaras automatik untuk keselesaan maksimum.

Gambar Courtesy dari BMW Brunei
Fungsi seperti Anti-dazzle High-Beam Assistant adalah fungsi membolehkan pemanduan pada waktu malam menjadi lebih mudah dan selamat. Sistem ini mengelak dari pancaran cahaya lampu tinggi secara optimum kepada pengguna jalan raya yang lain.

Semasa perjalanan kembali ke bilik pameran QAF Auto Sdn Bhd, penulis sendiri mencuba untuk meletakkan kereta menggunakan teknologi sistem kamera sekeliling (Surround View Camera) juga menjadi satu lagi ciri baharu yang membolehkan pemandu menukar haluan dengan mudah di kawasan-kawasan sempit.

Selain memberi pemandu menukar haluan, fungsi sangat baik ini menawarkan pandangan kawasan sekeliling yang luas dan dipaparkan pada papan kawalan. Sistem ini memberi penulis bantuan untuk membuat perletakan kereta secara mudah tanpa menghiraukan sekeliling.

Ikuti Mantuka di Facebook untuk gambar-gambar Uji Pandu BMW X5 xDrive35i.

Gambar Courtesy dari BMW Brunei