Mantuka

Insurans Islam Taib

Friday, August 15, 2014

Perlawanan Kereta Tahan Lasak Suzuki Pacuan Empat Roda kali ke-3

Boustead Sendirian Berhad dengan kerjasama Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei akan menganjurkan Perlawanan Kereta Tahan Lasak Suzuki Pacuan Empat Roda kali ke-3.  Perlawanan ini akan berlangsung pada 27hb September semasa diumumkan pada sidang media hari ini di Bilik Pameran Suzuki, Syarikat Boustead Sendirian Berhad, Beribi.

PKTLB telah diberikan kepercayaan sekali lagi bagi sama-sama mengendalikan acara perlumbaan ini berdasarkan pengalaman persatuan ini mengendalikan perlumbaan kereta tahan lasak yang lalu dan mempunyai tapak litar perlumbaan sendiri.

Hadir menerangkan mengenai Cabaran tersebut ialah Pengerusi Perlumbaan Piala Suzuki Boustead Sdn Bhd, Haji Ahmad Bin Haji Abdul Razak dan Eksekutif Pemasaran, Jonathan Yap Soon Lee. Turut hadir ialah Presiden Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB), Haji Jumat Bin Haji Taha, Penasihat PKTLB, Haji Jumahat Bin Hj Ahad. Turut hadir terdiri daripada ahli-ahli PKTLB dan kakitangan Boustead Sdn Bhd.

Perlumbaan Kereta Tahan Lasak Pacuan 4x4 ini akan mempunyai dua kategori iaitu Kategori Open Relay Standard dan Kategori Open Relay Modified. Perlawanan ini akan diadakan selama dua hari, bermula pada hari Sabtu, 27hb September 2014 hingga hari Ahad, 28hb September 2014. Perlumbaan akan bermula pada jam 8.00 pagi. Sesi pemeriksaan kenderaan pelumba bagi kategori Open Relay Standard, Taklimat dan Undian akan diadakan pada hari Ahad 21hb September 2014 pada jam 9.00 pagi ditapak litar perlumbaan.

Kategori Open Relay Standard adalah khusus untuk peserta-peserta pelumba yang memiliki kereta jenama Suzuki yang mana kenderaan tersebut mestilah tidak diubah daripada asal, baik pada enjin mahupun padal excel pada kenderaan tersebut. Tayar yang akan digunakan bagi kategori ini adalah tayar jenis MT (Mud Terrain). Kategori ini tidak mengira isipadu pada kenderaan yang akan dilumbakan. Yang penting adalah jenama Suzuki yang tidak diubah daripada asalnya sahaja. Dalam kategori ini, perlumbaannya adalah acara dalam trek yang seperti lazimnya telah dibuat sebelum ini. Trek tersebut akan mempunyai beberapa halangan seperti lumpur, lobang, kayu balak, bukit dan sebagainya.

Kategori Open Relay Modified adalah khusus untuk pelumba-pelumba yang memiliki kereta jenama Suzuki yang telah diubah-suai pada enjin ataupun pada excel. Tayar yang akan digunakan bagi kategori ini adalah tayar jenis MT (Mud Terrain), tayar SIMEX atau tayar MAXXIS. Kategori ini tidak mengira isipadu pada kenderaan tersebut, yang penting adalah bentuk badan kenderaan tersebut adalah jenama Suzuki

Boustead Sdn Bhd menumpukan untuk membuat sebuah acara yang menyeronokkan pada hari minggu disamping itu mengeratkan silaturahim diantara pemilik kereta-kereta Suzuki dalam sebuah cabaran yang diminati ramai. 

Pada tahun ini, Boustead Sdn Bhd telah membuat satu peningkatan cabaran bagi kesemua peserta iaitu Cabaran ‘Special Stage’ yang lebih mencabar dari segi fizikal, minda, kerjasama dan sebagainya. Ini adalah untuk memperkenalkan kepada pelumba-pelumba kita sendiri untuk mereka memahami mengenai perlumbaan secara Special Stage ini. Disamping itu juga bagi persiapan pada pelumba-pelumba untuk acara akan datang. Ianya akan berlangsung selama dua hari bermula dari 7.30 pagi hingga 6 petang.

Perlumbaan ini dibukakan kepada semua penggemar-penggemar pacuan empat roda Negara Brunei Darussalam yang memiliki kereta tahan lasak (4x4) berjenama Suzuki. Setiap peserta mestilah berumur 18 tahun keatas serta mempunyai lesen memandu yang sah. Disamping itu juga mempunyai tubuh badan yang sihat.

Borang Pendaftaran boleh diperolehi di Bilik Pameran Suzuki, Beribi dengan yuran pendaftaran sebanyak B$50 bagi setiap peserta. Tarikh tutup penghantaran borang ialah pada 20hb September ini.

Hadiah pertama bagi Cabaran Suzuki Pacuan Empat Roda kali ke-3 akan menerima hadiah wang tunai sebanyak B$800 dan satu set tayar 33x12.5 R15 Yokohama G001C yang ditaja oleh YHI Corporation (B) Sdn Bhd. Ini diikuti dengan tempat kedua berjumlah B$500 dan tempat ketiga sebanyak B$300 bagi kategori ‘Open Relay Standard’.

Dalam kateogri ‘Open Relay Modified’, juara akan membawa balik hadiah sebanyak B$1,500 bersama dengan piala Cabaran Suzuki dan 1 set tayar 305/70R16 Yokohama G001C ditaja oleh YHI Corporation (B) Sdn Bhd. Tempat kedua menerima B$1,000 dan tempat ketiga akan menerima B$700.

Acara ini bukan sahaja mempromosi imej jenama Suzuki kepada pelanggan terutama sekali model Suzuki pacuan empat roda seperti Suzuki Jimny, Suzuki Grand Vitara, Suzuki Jeep dan sekeluaran dengan jenama Suzuki. Ianya juga untuk mengeratkan hubungan  muhibbah dan silaturrahim yang sedia ada dikalangan penggemar-penggemar dan peminat-peminat pacuan empat roda di Negara Brunei Darussalam, terutama kepada peminat-peminat yang mempunyai kenderaan yang berjenama Suzuki 4x4.

Perlumbaan ini juga mendedahkan kepada penggemar-penggemar pacuan empat roda dan orang ramai betapa mustahaknya keselamatan dan disiplin ketika mengendalikan kenderaan pacuan empat roda dalam suasana tahan lasak dan mencabar.

Disamping itu juga, perlumbaan ini akan memupuk minat dan menggalakkan orang ramai untuk meminati dan menyertai aktiviti kereta tahan lasak disamping mengisi masa terluang dengan mengadakan kegiatan yang berfaedah.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Arman Bin Haji Ahad ditalian 8892419, Haji Jumat Bin Haji Taha 712200, Haji Kahan Bin Haji Nasir 8775797, Julia Farhanah Binti Haji Mohamad Yusof 7142910 atau Pengiran Hajah Maisurah 8877911.