Mantuka

Saturday, August 23, 2014

Maju Motors Sdn Bhd Memperkenalkan VW Tiguan 1.4 TSI

Syarikat Maju Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kereta buatan Jerman yang berjenama Volkswagen di pasaran Brunei Darussalam, semalam mencatatkan sejarah baru dengan melancarkan Volkswagen Tiguan 1.4 TSI yang berlangsung di Bilik Pameran Volkswagen, Telanai.

Disamping pelancaran ini, Syarikat Maju Motors Sdn Bhd telah mengadakan rumah terbuka untuk semua pelanggan-pelanggannya sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tujuannya adalah untuk menghayati bulan-bulan kebesaran Islam serta menanam sifat kemaafan dan pemurah dalam diri individu. Ianya juga untuk memberi ruang kepada semua pelanggan-pelanggan Volkswagen berkongsi kegembiraan suasana Hari Raya dalam semua peringkat. Tambahan lagi untuk mengeratkan silaturrahim antara kakitangan Syarikat dan pelanggan-pelanggannya.

Tiguan terbaru ini menggabungkan prestasi dan tahap ekonomi yang cukup membanggakan dengan pelbagai ciri-ciri praktikal dan versatil, pada masa yang sama selamat dan tahan lasak. Tiguan kelihatan sangat dinamik, bergaya dan sportif memberikan kenikmatan sepenuhnya dalam pemanduan dari apa jua jenis persekitaran jalanan dengan gabungan prestasi luar biasa dengan penjimatan bahan api.

Volkswagen telah membangunkan garis-garis Tiguan khususnya di bahagian hadapan dan belakang telah direka semula untuk mencerminkan 'reka bentuk DNA' Volkswagen yang ditandai dengan dominasi garisan melintang yang jelas. Garisan ini memberi Volkswagen Tiguan kelihatan sangat gagah dan berwibawa.
 
Volkswagen Tiguan mempunyai jeriji yang dinaik taraf dengan dua ram krom berganda. Terutamanya boleh diperhatikan dari desain lampunya yang menyipit dilengkapi dengan lampu bi-xenon bersama lampu standard cahaya siang hari, dan dibentuk oleh sekumpulan 14 LED yang diintegrasikan dalam lampu depan sehingga kelihatan mewah dan elegan.
 
Sementara di belakang Tiguan, anda dapat melihat perubahan dari desain lampu belakang. Reka bentuk badan Tiguan seirama dengan reka bentuk di hadapan dengan desain yang dinamik. Reka bentuk bampar dibuat lebih licin meski begitu tetap kelihatan moden dan mencirikan desain profil rendah namun tetap menarik perhatian dijalanan.
Didalam Tiguan, anda boleh melihat bagaimana hebatnya Volkswagen merancang desainnya yang sangat mewah, mudah, senang dioperasi dan mudah dilihat. Stereng Tiguan dilengkapi dengan suis yang boleh mengawal audio termasuk juga bila anda ingin menerima panggilan telefon, anda boleh menekan punat 'Phone' dan bunyi audio yang dimainkan akan senyap.



Ruang kargo Tiguan direka secara bersih dan cermat, dengan kemuatan lima penumpang, ianya mampu menampung 470 liter. Tahap maksima muatan kargo juga boleh mencapai 1,510 liter dengan maksima berat 670 kilogram.

Model keluaran terbaru ini menampilkan enjin 1.4 liter empat silinder TSI Twincharger dengan kuasa setinggi 160 bhp dan tork setinggi 240Nm. Profil prestasi ini dipadankan dengan transmisi DSG enam kelajuan dimana ianya mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 8.9 saat, sebelum mencecah kelajuan puncak 198 km/j.

Dengan kombinasi terbaik teknologi TSI dan DSG, Tiguan berupaya mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 7.1 liter petrol untuk setiap 100km. Penjimatan ini ditingkatkan lagi menerusi sistem penghidup enjin start/stop automatik. Sistem ini menghalang enjin daripada melahu secara tidak perlu. Ia turut dilengkapi sistem brek janaan semula, di mana tenaga kinetik yang terhasil sewaktu memandu dan membrek akan diubah untuk mengecas bateri kenderaan. 

Keselesaan adalah salah satu tumpuan Volkswagen untuk memberi kepuasan kepada pemiliknya. Tempat duduk depan dilengkapi dengan pembantu pelarasan lumbar dan penyimpanan barang bagi setiap tempat duduk depan. Manakala tempat duduk belakang pula boleh dilipat secara penuh dan membolehkan pelanggan untuk menyimpan objek berukuran 2.5 meter panjang. Tiguan juga mempunyai ruang untuk kepala dan kaki badi penumpang yang duduk di depan dan di belakang.

Ukuran Tiguan baru ini mempunyai ketinggian 1703 mm tetapi ia mempunyai kelebaran 1.809 mm dan panjangnya 4,426 mm dengan trek yang ditetapkan pada 1,569 mm lebar di depan dan 1,571 mm lebar di belakang untuk membantu kestabilan semasa memandu.


Kereta ini mempunyai keselamatan yang sangat tinggi yang pernah mendapat penilaian lima bintang ujian kemalangan oleh Program Penilaian Kereta Baru (NCAP) dibawah European Consumer Protection Organisation Euro NCAP. Volkswagen juga pernah dinamakan kereta 'Top Safety Pick' oleh The American IIHS (Insurance Institute for Highway Safety).

Untuk pengetahuan ramai, Tiguan terbaru ini dilengkapi dengan lima penahan diri kepala yang boleh di laraskan, dua bag udara depan, dua bag udara sampingan depan dan bag udara bagi bahagian kepala. Standard ISOFIX dipasangkan pada tempat duduk belakang untuk melengkapkan langkah-langkah perlindungan untuk kanak-kanak.

Pemilik kereta ini akan menikmati fungsi-fungsi standard seperti skrin sentuh berwarna RCD510, slot kad SD, sambungan AUX-In, sistem kawalan stereng serta kamera undur membuatkan ia sesuai untuk pemanduan di bandar dan macam-macam lagi. Slot USB tidak termasuk dalam model ini walaubagaimanapun sambungan AUX-in boleh digunakan sebagai alternatif untuk memainkan lagu dari teknologi media seperti iPod. Model ini juga mempunyai meja berlipat dan poket penyimpanan di belakang kerusi hadapan.

SUV ini menawarkan pemanduan yang dinamik dan menyeronokkan di bandar, selain selasa untuk perjalanan jauh.
 
Untuk keterangan lanjut mengenai berita uji pandu Volkswagen Tiguan 1.4 TSI klik di bawah ini: