Mantuka

Hyundai i30N

Saturday, February 22, 2014

Uji Pandu Kia Coupe Jenerasi terbaru


Kia Motors mempunyai evolusi perubahan yang tidak dapat ditandingi membuahkan hasil apabila syarikat berkenaan mengeluarkan beberapa model terbaru dengan mencatumkan gaya sportif, elegan dan bergaya.

Jenama itu semakin popular menjadi jenama yang dipercayai apabila mempunyai pereka ternama seperti Peter Schreyer. Keluaran terbaru kali ini menumpukan kepada demografi kalangan anak muda yang menginginkan kereta bergaya.

Sejak menerima khidmat daripada pereka ternama itu, ia menandakan perubahan  lebih mantap bagi memenuhi selera pelanggannya, jauh berbeza daripada gaya dan pendekatan reka bentuk pada model-model terdahulu keluaran syarikat itu.

Model Kia Cerato Koup terbaru, yang memasuki pasaran Brunei tidak hanya mempunyai bentuk badan ‘sportif’, bergaya dan dinamik, bahkan Cerato Koup terbaru ini menghasilkan sebuah kereta yang mempunyai reka bentuk bergaya dan berteknologi tinggi.

Semasa uji pandu dijalankan, Cerato Koup boleh dikatakan salah sebuah kereta terbaik untuk dipandu. Cerato Koup memberi respon yang sangat mudah dari segi pengawalan kenderaan terutama perjalanan yang berliku-liku, ini kerana badan kereta tersebut agak sedikit kecil tetapi setentunya direka untuk memberi pengawalan yang lebih baik.

Melihat secara dekat kereta terbaru ini tidak jauh berbeza dnegan model sebelumnya.


Namun,  jika dilihat secara teliti, model terbaru ini diukir bagi melambangkan ‘kuat dan dinamik’. Walaupun keluasan tempat duduk belakangnya mungkin tidak seluas Cerato sedan, ia masih mampu memuatkan dua orang dewasa dengan selesa di tempat duduk bahagian penumpang belakang.

Pengalaman berada di dalam Cerato Koup dirasakan amat menyenangkan, sama ada buat pemandu mahupun penumpang di bahagian hadapan. Ketika memandu dan membuat selekoh memasuki simpang, ianya dapat dirasakan kereta berkenaan amat seimbang dan stabil.



Bagi memudahkan pemandu dan penumpang di bahagian depan mengenakan tali keledar keselamatan, ciri pelanjut pangkal tali keledar (seat belt extension) banyak membantu dalam hal ini. Ia menjadikan tali keledar berlaras dalam jarak yang mudah dicapai oleh pengguna.

Bahagian tempat duduk hadapan juga amat selesa dengan sokongan belakang yang baik, terutama untuk pemanduan jauh. Malahan ruang kepala dan kaki juga cukup luas untuk memberikan keselesaan ketika kami memandu melalui jalan raya biasa di kawasan Stadium Negara Hassanal Bolkiah tanpa sebarang kesakitan atau ketidak-selesaan.

Model yang dipandu ketika sesi berkenaan dilengkapi dengan enjin 2.0 liter DOHC 16 Valve, yang mampu menjana kuasa sehingga 204ps. Ianya juga disempurnakan oleh sistem transmisi automatik 6-kelajuan yang begitu lancar dan responsif.

Aspek keselamatan masih menjadi keutamaan dengan pemasangan beberapa ciri keselamatan seperti ABS dengan break assist (BAS), sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem kawalan cengkaman (TCS), sistem hill start assist control (HAC), sistem pengurusan kestabilan kenderaan (VSM), sensor meletak kenderaan bahagian depan dan belakang, kamera pandang belakang dan juga enam beg udara.