Mantuka

Insurans Islam Taib

Sunday, January 5, 2014

Uji Pandu Jenama Citroen

Syarikat Grand Motors Sdn Bhd pengedar tunggal Kia dan Mazda kini memperkenalkan barisan jenama barunya dalam industri otomotif di Negara Brunei Darussalam. Jenama terbaru itu ialah ‘Citroen’ yang sudah dikenali oleh peminat kereta eropah di negara luar. Ramai juga menyangka jenama tersebut pernah berada dinegara ini tetapi menghilang tanpa sebab di pasaran Brunei.

Dengan pengedar baru ini, Citroen memutuskan untuk kembali dengan memperkenalkan model varian terbarunya yang lebih memuaskan.

Citroen akan dilancarkan dinegara ini tidak lama lagi dan bersempena pelancaran ini, Syarikat Grand Motor Sdn Bhd semalam memberi peluang kepada media tempatan untuk membuat uji pandu kereta buatan perancis dengan barisan model-model terkini dan spesifikasi tinggi iaitu DS3, DS4 dan DS5.

Dalam uji pandu itu, setiap media diberi peluang untuk mencuba ketiga-tiga model yang disediakan. Perjalanan kali ini mengambil masa selama 4 jam menggunakan kereta model Citroen DS3 dan DS4 yang mana uji pandu tersebut menuju ke Daerah Tutong dan Kuala Belait dan menuju balik ke Bilik Pameran Grand Motors di Beribi.

Ketika memasuki ruang kabin DS4, rasa keselesaan sudah dapat dirasakan kerana ia dipenuhi dengan ciri-ciri premium. Semasa duduk, kerusi balutan kulit Havana Club dengan jahitan berpetak-petak nampak kemas.

Struktur tempat duduk direka seperti kerusi ala kereta lumba ‘bucket’ untuk memberi kestabilan pemandu ketika menyusuri selekoh. Tambahan lagi, semasa memandu perjalanan jauh anda boleh menekan punat dibawah kerusi untuk memberi urutan otomatik dibahagian punggung.

Panel meternya juga tampak futuristik dengan kombinasi sistem digital untuk menyukat kelajuan serta putaran seminit enjin selain boleh ditukar warna mengikut kemahuan pemiliknya.

Sesuai dengan konsep kenderaan premium, jentera ini dilengkapi papan pemuka menggunakan material lembut sekali gus memberi imej lebih mewah.

Ia juga setentunya memberi kepuasan hampir 100 peratus kerana ianya dilengkapi dengan sistem teknologi terkini kerana papan pemukanya dipenuhi pelbagai butang membabit­kan suhu penyaman udara, open roof, pembuka cermin otomatik, penghubung telefon secara Bluetooth dan pengawal cruise.

Bagi mengisi kebosanan perjalanan seharian, ia dilengkapi sistem audio yang boleh disambung dengan USB atau ‘auxiliary’ untuk memainkan muzik digemari.

Bagi yang baru melihat kereta ini dijalanan, janganlah pandang sebelah mata terhadap prestasi kenderaan DS4 dan DS5 kerana ia memberi tenaga yang cukup mantap apabila enjin berkapasiti Citroen 1.6 VTi menyalurkan 240/1400 torque maksima dengan kuasa sehingga 120/6000 kuasa maksima, ini kerana kelebihan kedua buah model tersebut dilengkapi dengan turbo.

Sementara itu, bahagian luar DS4 dapat dilihat menawan dan kereta tersebut pernah dianugerahkan kereta paling cantik tahunan (Most Beautiful Car of the Year) pada Anugerah Reka Bentuk Auto Bild 2011.

Sebenarnya, Citroen DS4 adalah model kedua yang dilancarkan di bawah lencana DS selepas DS5. Kereta ini menampilkan gaya yang unik apabila direka meng­gunakan konsep coupe dengan kapasiti tempat duduk 2+2. Pemanduan DS4 sangatlah selesa sehingga sampai kedestinasi di Daerah Tutong.

Sebaik saja, sampai di Daerah Tutong, kami mula menukar kereta kepada model DS3 dan begerak ke Daerah Belait. Model Citroen DS3 boleh dikatakan untuk kalangan anak muda. Bentuk badan luar kereta tersebut tidak jauh dari model kereta Audi A1 dan Mini Cooper. Walaubagaimanapun, kereta itu mempunyai kelebihan tersendiri termasuk ruang dalam yang lebih luas berbanding dengan Mini Cooper dan ianya juga dilengkapi dengan sistem penjimatan minyak.

Semasa memandu di waktu hujan, perjalanan agak sedikit tidak rata dan licin, walaubagaimanapun, kereta ini mempunyai suspensi sedikit lembut dan selesa sekali gus sehinggakan tidak merasa begitu bergegar didalam, ianya sesuai kepada mereka yang sudah berkeluarga. Tambahan lagi, biarpun sistem suspensi agak lembut, pengendaliannya masih lagi mengagumkan.

Kalau dilihat, kereta ini kalau dilihat memang dipanggil versi kompak tetapi reka bentuk tubuhnya dibentuk dengan sempurna sehinggakan jika dilihat dari mana-mana sudut sekali pun kereta ini mempunyai falsafah tersendiri rekaan Citroen yang unik.

Citroen DS3 dilengkapi dengan enjin Citroen’s 1.6 VTi 120 yang dikhaskan untuk pemanduan yang lancar. Memandu DS3 sehingga ke Daerah Belait sudah setentunya menyeronokkan apa lagi kalau ditambah dengan interior berwarna secara ubahsuai. Kereta ini yang akan diperkenalkan nanti pasti akan diminati oleh kalangan anak muda apatah lagi kereta tersebut dijual dengan harga terjangkau.

Semasa menuju balik ke Bandar Seri Begawan, kami memeriksa dari segi keselamatan kereta tersebut yang mana Citroen terbukti mementingkan dari segi keselamatan, model DS3 dan DS4 dilengkapi aspek keselamatan yang sangat ketat. Ianya dipasang dengan sistem keselamatan beg udara dan teknologi seperti Electronic Stability Program, Anti Braking System, Electronic Brakeforce Distribution dan Emergency Braking Assistance. Sistem lain yang turut dilengkapi ialah sistem amaran lampu titik buta pada bahagian sisi cermin kenderaan jika kenderaan lain menghampiri di sudut kereta.

Jangan lepaskan peluang hebat untuk mendapat kereta jenama Citroen sekarang, sebanyak 40 unit akan dijual nanti dengan harga promosi perkenalan. Untuk keterangan lanjut orang ramai boleh menghubungi +6732450257 atau melayari www.citroen.com.bn.