Mantuka

Insurans Islam Taib

Monday, May 27, 2013

Sentiasa Berwaspada di Jalan Raya

Courtesy oleh Sim Y. H.

Pasukan Polis Diraja Brunei menasihatkan orang ramai khususnya semua pengguna jalan raya di negara ini untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada semasa memandu terutama ketika keadaan cuaca yang tidak menentu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei, peringatan itu adalah berikutan dengan beberapa kejadian kemalangan jalan raya yang dilaporkan termasuk kemalangan maut yang berlaku baru-baru ini.

Sehubungan itu, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei akan mengambil langkah proaktif dan menambah giatkan lagi pemantauan serta inisiatif untuk melakukan penguatkuasaan, rondaan serta pemantauan secara intensif kepada pemandu-pemandu dan pengguna jalan raya dalam memberikan kesedaran serta pengajaran di samping memupuk sikap pemanduan yang berhemah kepada semua pengguna jalan raya di seluruh negara.

JSKLL juga menekankan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh semua pengguna jalan raya iaitu untuk sentiasa melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan mereka untuk memastikan ia adalah selamat untuk dipandu, sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya seperti mengikut arahan papan-papan tanda keselamatan di tepi jalan, sentiasa memberikan tumpuan dan berwaspada ketika memandu, sentiasa menggunakan tali pinggang keselamatan semasa memandu serta sentiasa mengamalkan sikap bertolak-ansur kepada pengguna jalan raya yang lain.

Mereka juga diseru untuk sentiasa peka dan berawas terhadap perubahan sekeliling seperti hujan dan jalan licin, mengubah sikap untuk tidak memandu melebihi had, tidak sama sekali menggunakan telefon bimbit semasa memandu sama ada membuat panggilan atau membuat pesanan ringkas, bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan diri sendiri dan para pengguna jalan raya yang lain, mengatur masa dengan bijak untuk tidak bergesa-gesa semasa memandu, jangan jadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan serta bersabar, bertawakal dan berdoa semasa memandu kenderaan.