Mantuka

Insurans Islam Taib

Monday, April 29, 2013

Lesen Baru bermula Awal Mei ini


Courtesy : Yusrin Junaidi 
Lesen memandu, lesen kenderaan dan buku pendaftaran kenderaan akan berwajah baru mulai Mei ini apabila ia dilancarkan oleh Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Perhubungan. 

Format baru itu akan dirasmikan oleh Menteri Perhubungan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat Awang Haji Khalid bin Haji Mustafa pada sidang media di Jabatan Pengangkutan Darat hari ini berkata, lesen memandu yang baru ini boleh dibuat melalui kaunter atau online.

Namun permohonan kali pertama dimestikan bergambar di Jabatan Pengangkutan Darat dan beberapa tempat yang telah dikhaskan. Terdapat sembilan cawangan yang mana orang ramai boleh membuat penggambaran bagi lesen memandu antaranya ialah Pejabat-pejabat Pos BSB, MPC, Seri Kompleks Batu Satu, Menglait, Gadong, Sengkurong, Muara, Tutong, Seria dan Kuala Belait.
     
Menurut beliau, permohonan kali pertama akan mengambil masa 10 hari bekerja untuk diproses dan tempoh ini akan diubah mengikut keramaian pemohon. Lesen memandu baru ini ditambah tempoh mansuhnya selama 3 hingga 10 tahun berbanding yang ada sekarang daripada 1 hingga 3 tahun sahaja.
      
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Jabatan Pengangkutan Darat akan turut mengadakan taklimat mengenai lesen kenderaan baru itu nanti di majlis pelancarannya terutamanya reka bentuk lesen kenderaan dan cukai jalan baru yang menggunakan pelekat plastik, nombor siri pengeluaran yang sedia dicetak oleh pembuat serta pengeluaran lesen oleh pejabat-pejabat Jabatan Pengangkutan Darat dan Jabatan Perkhidmatan Pos.
     
Pada sidang media berkenaan,  Awang Haji Khalid turut menjelaskan tentang format baru buku pendaftaran kenderaan berbentuk buku kecil yang lebih berkualiti, mempunyai nombor pengeluaran yang sedia dicetak oleh pembuat.
      
“Ketiga-tiga format ini memiliki keunikannya sendiri, yang mana lesen memandu baru berbentuk plastik, memiliki gambar si pemilik, mempunyai ciri-ciri keselamatan menggunakan kod bar dan mikrocip serta tahan lama.
   
“Manakala lesen kenderaan pula daripada plastik pelekat, tidak mudah basah, anti panas, akan koyak jika dipindah dan mempunyai kod bar. Buku kenderaan pula lebih kecil, mudah disimpan, ruang lebih besar untuk maklumat dan maklumat pula dicetak, bukannya ditulis secara manual,” kata Awang Haji Khalid.
     
Pelaksanaan pengeluaran format baru ini ditumpukan kepada pemandu-pemandu baru lulus dan pemilik lesen yang mansuh. Permohonan kali pertama hendaklah dibuat di kaunter dan bagi pembaharuan boleh dibuat secara online.  
  
Pemohon boleh memilih untuk penghantaran lesen yang siap melalui pos atau terus datang ke kaunter JPD untuk mendapatkan lesen tersebut.
      
Harga lesen baru bagaimanapun masih sama seperti yang lama iaitu  untuk setahun $10, 3 tahun $30 dan tempoh baru 5 tahun adalah $50 manakala 10 tahun $100. Manakala peraturan denda melanggar peraturan masih sama.

Awang Haji Khalid berharap orang ramai memahami dan memberi kerjasama terhadap perubahan yang dibuat, menerima perubahan itu dan memberi maklum balas kepada JPD dari masa ke semasa bagi memperbaiki mutu perkhidmatan jabatan itu. 

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi terus JPD di talian 24517979 atau melalui talian hotline 119 atau melayari laman webnya, www.pengangkutan-darat.gov.bn.