Mantuka

Insurans Islam Taib

Tuesday, October 23, 2018

Pelancaran Mercedes-Benz A-Class


Syarikat Jati Transport Sdn Bhd semalam mencatat sejarah baru dengan melancarkan keluaran terbaru bagi model A-Class bertempat di Mercedes-Benz Autohaus di Beribi.

Pelancaran itu dikhaskan bagi pelanggan-pelanggan VIP mereka yang membanjiri bilik pameran untuk menyaksikan model popular dinegara ini.



Menyempurnakan pelancaran itu ialah Duta Besar Jerman ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Peter Hermann Wolff bersama dengan Pengerusi Eksekutif Jati Transport Sdn Bhd, Pengiran Anak Haji Ja’afar ibni Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Jati Transport Sdn Bhd, Andrew Chiam dan Pengurus Besar G.D Markets Daimler South East Asia, Kenny Ng.



Semasa pelancaran tersebut, Syarikat Jati Transport Sdn Bhd telah memperkenalkan dua varian iaitu A 200 bagi spec biasa dan A 250 yang lebih kepada versi AMG. A-Class model tahun 2019 dibawah kategori Hatchback ini direka khas untuk memberi keselesaan, sportif dan efisien.

A-Class juga turut dilengkapi dengan Sistem Mercedes-Benz User Experience Multimedia sebagai kelengkapan standard kepada era perhubungan yang baru. Sistem infotainment tersebut disediakan dengan skrin panjang yang memperlihatkan rasa futuristik.



Mercedes-Benz A-Class yang kini menjadi tarikan anak muda adalah model pertama Mercedes-Benz yang dilengkapi Mercedes-Benz User Experience (MBUX). MBUX baru membolehkan kenderaan, pemandu dan penumpang untuk berinteraksi dengan suara, skrin sentuh, pad sentuh membuat perhubungan lebih mudah semasa kereta dalam keadaan statik atau bergerak.

Model A-Class ini juga mempunyai ruang kabin yang luas dan reka bentuk bonet belakang yang diperbuat untuk memudahkan memasukkan atau mengeluarkan barangan besar.



A-Class baharu kini dilengkapi dengan keselamatan terkini dan pakej bantuan keselamatan yang boleh dipilih atau ditambah oleh pemiliknya.

A-Class baharu datang dengan Multibeam LED Headlamps, LED High Performance headlamps, Driving Assistance Systems, Driving Assistance Package (tersedia sebagai pilihan), sistem PRE-SAFE (juga termasuk dalam Driving Assistance Package dan juga boleh didapati secara berasingan), Head-Up Display dan banyak lagi.




A 200 dikuasakan dengan enjin 1.4 liter Turbocharged yang menghasilkan kuasa output 120 kW (163 kuasa kuda) pada 5500 rpm dan 250 Nm tork pada 1620 rpm.

A 250 pula dikuasai oleh enjin 2.0 liter Turbocharged yang menghasilkan kuasa output 165 kW (224 kuasa kuda) pada 5500 rpm dan 350 Nm tork pada 1800 rpm. Kedua-dua model A-Class ini dibantu dengan transmisi otomatik 7G-DCT.



Mercedes-Benz A-Class baharu ini juga dipamerkan hari ini bagi kunjungan orang ramai yang dipamerkan di Bilik Pameran Mercedes-Benz Autohaus di Beribi.