Mantuka

Insurans Islam Taib

Sunday, July 23, 2017

Uji Pandu Volkswagen Passat 2017




Baru-baru ini Maju Motors telah memperkenalkan keluaran model Volkswagen Passat terbaru jenerasi ke-8 dibawah segmen kereta mewah yang mempunyai banyak kemampuan sesuai bagi pemilik yang ingin keanggunan sebagai kereta serba baru dan serba canggih.

Sempena dengan pengenalan model terbaru ini, syarikat tersebut memberi peluang kepada penulis Mantuka untuk menjalankan uji pandu untuk mengenali lagi fungsi-fungsi yang ada di dalam model premium ini. 

Melihat penampilan awal model ini Perubahan ketara sejak Passat sebagai kereta popular pada tahun 80-an, mempunyai gaya moden yang lebih tegap dengan gril jeriji depan berwarna krom memegang simbol logo Volkswagen (VW). Tambahan lagi, perubahan agak ketara dari segi bentuk badan yang lebih lebar berbanding model sebelum ini. 

Memasuki ruang dalam kereta agak luas dan nampak sempurna dengan papan pemuka berkualiti tinggi. Direka kemas dan luas, Passat kali ini menampak papan pemuka lebih berbeza berbanding model sebelum ini. Jika memasuki ruang kabin pada waktu malam akan melihat lampu garisan led di sekeliling papan pemuka depan dan sisi membuatkan ruang tersebut lebih nyaman untuk dilihat.

Pemandu dan penumpang akan merasakan keluasan sambil menikmati persekitaran kereta premium dengan kerusi kulit ‘Nappa’ berkualiti tinggi dan stereng diselut kulit. Antara fungsi moden dilengkapi di dalam model terbaru ini seperti punat menghidupkan, mematikan enjin kereta, sistem penghawa dingin dengan kawalan Climatic, kawalan fungsi dibahagian stereng, sistem monitor 8 inci dengan sistem navigasi ‘Discovery Pro’.

Pihak media mengambil kesempatan untuk membuat perkongsian ujian mereka mengenai kereta tersebut. Bunyi enjin senyap dan membuatkan perjalanan lebih seronok apabila penumpang sedang memainkan musik hiburan dalam kereta. Penumpang duduk dibelakang juga akan merasa lebih selesa kerana keluasan dibelakang tambahan lagi penumpang boleh menikmati sinaran matahari dari atap ‘sun roof’ yang boleh dibuka secara automatik.

Semasa membuat uji pandu, perjalanan lebuhraya menuju ke Muara amat menyeronokkan, penukaran gear tidak terasa langsung selepas perlepasan walaupun semasa di tahap laju. Penukaran gear yang lancar ini dibantu dari kotak gear transmisi DSG gabungan enjin TSI yang bukan saja memberi perjalanan lancar sambil penjimatan bahan api.  

Bagi pendapat penulis, Passat terbaru ini sebuah kereta menyeronokkan dan ianya sesuai untuk dimiliki oleh kalangan yang sudah bekerja atau mempunyai gaya hidup mewah, sesuai digunakan untuk perjalanan seharian apatah lagi mempunyai pelbagai fungsi serta ruang yang luas memberi muatan sehingga lima penumpang. 

Passat dimuatkan dengan enjin 4 silinder, TSI 16 Valves bersama bantuan Turbocharger, walaupun model ini nampak seperti kereta premium tetapi ianya mempunyai fungsi Program dipanggil  'Dynamic Chassis Control' yang memberi pilihan kepada pemandunya pilihan mengikut kesesuaian perjalanan setiap hari. 

Pemandu boleh memilih empat jenis mode iaitu 'Comfort' bagi pemanduan selesa, ‘Eco’ bagi ekonomi, ‘Normal’ untuk pemanduan biasa, ‘Individual’ bagi pemandu secara profil individu dan yang istimewa ialah ‘Sport’ bagi pemanduan adrenalin. Dalam setiap pilihan ini, tekanan penyerap hentak dan tindak balas enjin akan dilaras.

Pilihan ‘Sport’ bukan sahaja menukar bunyi enjin dan exhos kereta tersebut bahkan memberi kuasa secara maksimum mengikut enjin yang sudah ditala (tuned) oleh pengeluar Volkswagen. Apa yang menjadi tarikan Passat baharu  kali ini turut dimuatkan dengan pilihan Mode ‘Launch Control’, jika yang berminat dengan perlumbaan, pilihan Launch Control inilah kunci utama bagi melancarkan kereta tersebut secara agresif.


Aspek keselamatan pula, Passat ini turut dilengkapi dengan sistem penggera anti kecurian dengan pelumpuh elektronik bagi memberikan pelindungan maksimum terhadap kenderaan daripada dicuri. Selain dilengkapi dengan ciri standard seperti tali pinggang pra-regangan, sistem ISOFIX, enam beg udara, ABS, EBD dan sistem bantuan brek (BA).

Passat tersebut baru saja dilancarkan dan syarikat Maju Motors menawarkan tiga versi bagi pelanggan Brunei, Passat 1.8 TSI bagi model standard, Passat 2.0 TSI sebagai model eksklusif dan Passat 2.0 TSI R-Line yang lebih sportif dengan reka bentuk pakej R-Line dan gril depan logo R-Line.