Untuk berita versi Inggeris, klik di sini.
Sejak pelancarannya pada awal 2014, Vento merupakan model yang paling popular di barisan Volkswagen dan salah satu kereta yang laku dijual di Brunei Darussalam.
Vento telah dikenali dengan gabungan prestasi tinggi, penggunaan bahan api yang rendah dan keselamatan yang mendahului kelasnya. Sekarang, Vento kembali dengan wajah serba baru.
Pelancaran model Vento yang dilancarkan semalam di Bilik Pameran Maju Motors Sendirian Berhad, Jalan Telanai telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Volkswagen Brunei, Bernd Siffling. Dalam ucapannya beliau berbangga di atas pelancaran terbaru Vento sebagai tambahan model barisan Volkswagen di Negara Brunei Darussalam.
Beliau juga menjelaskan bahawa, model Volkswagen yang berada di Negara Brunei Darussalam tidak terjejas dengan masalah emisi dari berita yang tersebar luas mengenai masalah skandal pemalsuan data emisi mesin diesel yang ditemukan baru-baru ini, Bernd Siffling berkata.
Vento baru ini tidak banyak beza dengan model lama, namun perubahan paling ketara adalah di bahagian dalamannya, seperti stereng yang dilapisi kulit yang mempunyai bentuk 'flat-bottom' yang memberikan rekaan lebih moden dan sportif.
Vento terbaru di naik taraf dengan beberapa fungsi terbaru termasuk lampu fog depan, cermin sisi dengan indikasi, kawalan jarak letak kereta, konsol pelbagai fungsi dan rehat lengan (arm rest). Dengan harga yang sederhana ini, pelanggan juga akan memiliki kelengkapan fungsi multimedia moden seperti slot USB, slot SD kad, AUX-in dan empat pembesar suara.
Selain itu, Vento terbaru kini dilengkapi dengan ‘rim Tosa 15 inci' yang membuatkannya nampak seperti sebuah kereta sukan berjenama premium.
Volkswagen Vento terbaru ini dikuasakan dengan 1.6 MPI enjin menyalurkan 153 Nm kuasa tork gabungan 6-kelajuan Automatik dengan pengawal Tiptronic yang mana fungsi ini hanya diperolehi pada kereta-kereta mahal. Dengan mempunyai kuasa Tork yang tinggi Vento dapat membuat pecutan yang baik pada apa jua kondisi pemanduan.
Dari segi keselamatan, kereta ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang terbaik termasuklah empat beg udara dan sistem ABS dan Break Assist (BA). Ia juga mempunyai ciri-ciri ISOFIX yang membolehkan para pemandu untuk menyimpan kerusi khas untuk kanak-kanak di tempat duduk belakang.
Orang ramai boleh mengunjungi Bilik Pameran Maju Motors Sdn Bhd, Jalan Telanai dari jam 9 pagi hingga 5 petang untuk menyaksikan lebih dekat keluaran terbaru Volkswagen Vento.