Mantuka

Insurans Islam Taib

Saturday, April 19, 2014

Megat Muhd Taufiq menangi hadiah utama Kempen Barakah 5 BIBD

Tuah menyebelahi Megat Muhd Taufiq bin Haji Md Jaafar apabila beliau membuat pilihan kunci kereta yang tepat dan berjaya untuk memenangi serta membawa pulang hadiah utama, Kempen Barakah 5 BIBD, iaitu sebuah kereta baru, Jaguar XF, hari ini.

Sebanyak 20 orang pelanggan bertuah BIBD dipilih untuk menyertai acara penyampaian hadiah utama Kempen Barakah 5 BIBD yang berlangsung di Autrium, The Mall, Gadong dimana setiap peserta acara akhir kempen itu membawa pulang hadiah menarik.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan 5 hadiah teratas kempen berkenaan ialah Ketua Pegawai Kewangan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman. Turut hadiri ialah peserta-peserta acara akhir, ahli keluarga dan pegawai serta kakitangan BIBD.

Acara akhir kempen berkenaan membawa sedikit kelainan dari acara cabutan bertuah yang lain dimana para peserta perlu melalui beberapa pusingan awal untuk memilih dua peserta akhir bagi peluang untuk memilih pemenang bertuah hadiah utama berupa kereta Jaguar XF.

Walaupun menjadi peserta kedua membuat pilihan dari tiga kunci kereta, namun tuah berpihak kepada Megat Muhd Taufiq yang berjaya membawa pulang hadiah kereta, Jaguar XF.

Sementara itu, hadiah kedua berupa produk-produk Apple menjadi milik Lailatul Aini binti Abdul Rahman, hadiah ketiga berupa produk-produk Samsung ialah Mohammad Zaizul bin Awang Daud, tempat keempat berupa Home Theatre Samsung menjadi milik, Hajah Aidah Redha Hayati binti Md Noh serta hadiah kelima berupa 300 ribu Royal Skies Miles ialah Pengiran Haji Md Yussoff bin Pengiran Haji Bahar.

Di samping itu, para peserta acara ahkir yang lain pula membawa pulang hadiah-hadiah menarik iaitu 5 orang membawa pulang telefon bimbit, iPhone 5S dan 10 orang lagi memenangi hadiah berupa iPad Minis.

Terdahulu dari itu, Hajah Noraini dalam ucapannya berkata bahawa kempen Barakah itu dihasratkan untuk menjadi sebagai insentif tambah nilai bagi para pelanggannya untuk memulakan serta meneruskan rancangan penyimpanan dan matlamat sepanjang hayat mereka seperti memiliki sebuah rumah atau menyediakan keselesaan bagi keluarga mereka.

Di samping itu, tambah Hajah Noraini lagi, BIBD akan terus menyediakan hanya yang terbaik kepada pelanggannya dengan meneruskan usaha bagi memperkenalkan pelbagai inisiatif inovatif supaya akan membantu untuk membangunkan dan memperbaiki lagi perkhidmatan serta produk yang ditawarkan.