Mantuka

Insurans Islam Taib

Monday, June 10, 2013

Pelancaran Proton Satria Neo R3

Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Asia pertama diberi kehormatan untuk melancarkan ‘Satria Neo R3’ sebagai keluaran  kereta terbaru dari Proton semalam.

Proton Satria Neo R3 telah disempurnakan pelancarannya oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam Tuan Yang Terutama Puan Haznah Mohd Hisham bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Berhad, Dato’ Lukman bin Ibrahim dan Pengarah Urusan United Motors Sendirian Berhad, Simon Gelan selaku pengedar kereta Proton di Brunei.

Pelancaran itu sekaligus menandakan pembukaan rasmi bilik pameran terbaru United Motors Sendirian Berhad dan Pusat 3S Proton terletak di Gadong yang akan menyalurkan perkhidmatan, penjualan, pembaikan dan penyelenggaran yang dipercayai, membantu pelanggan memerlukan jaminan, bahagian-bahagian, peralatan dan barangan kereta. Syarikat tersebut juga mempunyai visi memberikan perkhidmatan selepas jualan berkualiti tinggi untuk member kepuasan kepada pelanggannya.

R3 yang bermakna Racing, Rally, Research menumpukan kepada tema perlumbaan, Rally dan Penyelidikan yang membuatkan Satria Neo R3 terbaru seperti yang dijangka lebih menarik dan hebat. R3 mempunyai badan yang anggun, sportif dan aerodinamik turut disediakan dengan splitter depan dan spoiler belakang R3.

Sementara itu, kereta tersebut juga dimuatkan dengan rim alloy 16” dengan tempat duduk R3 semi-bucket R3 eksklusif, tambahan lagi sistem audio 2 DIN dan sistem GPS Navigation. Berbanding dengan Satria sebelumnya, R3 mempunyai banyak perubahan dibahagian dalaman terutama dibahagian papan pemuka, pintu dan kerusi. Lampu hadapan terdapat sedikit perubahan yang menampilkan kereta tersebut nampak lebih ganas dan bergaya sesuai dengan perkataan ‘satria’.

Sebagai sebuah kereta yang ditampilkan dengan kejagguhannya, keluaran proton kali ini mempunyai enjin 1.6Liter Campro CPS terbukti mengeluarkan kuasa sehingga 125 kuasa kuda (6500rpm) bagi pemanduan agresif, bukan saja itu, R3 mempunyai punat pilihan bagi pengeluaran kuasa yang tinggi atau penjimatan minyak mengikut kondisi pemanduan.

Disediakan dengan transmisi Manual atau otomatik, Satria Neo R3 juga dilengkapi dengan sistem keselamatan seperti dual front airbag, sistem anti brek (ABS) dengan EBD, sistem respon kestabilan kenderaan.

Satria Neo R3 boleh didapati dengan empat jenis warna iaitu mreah api, Perak GTi,  hitam Tranquility dan Kuning kenari. Orang ramai boleh menyaksikan sendiri kereta tersebut dengan mengunjungi bilik pameran terbaru United Motors terletak di Sublot 21, Lot 25360, Kampong Pengkalan Gadong.