Mantuka

Saturday, December 15, 2012

Sistem SPD baru berkuatkuasa awal 2013

 

Bagi memperluaskan lagi pengetahuan dan perkenalan Lesen Memandu, Lesen Kenderaan dan Buku Pendaftaran Kenderaan yang baru, Jabatan Pengangkutan Darat meneruskan jerayawara pengenalan hari ini bagi peringkat Daerah Brunei Muara di Jabatan Pengangkutan darat, Kampong Sungai Akar.

Ianya bertujuan memberikan penerangan serta maklumat mengenai produk-produk terbaru SPD iaitu Lesen Memandu, Lesen Kenderaan dan Buku Pendaftaran Kenderaan. Hadir pada sesi taklimat pagi ini ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara Daerah Brunei Muara dan penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta jemputan khas.


Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Awang Harun Haji Hujan dalam taklimat beliau memberikan penerangan mengenai tujuan jerayawara, latar belakang, pelan pelaksanaan, keperluan utama, produk-produk baru SPD serta rumusan taklimat.

Beliau juga menyatakan bahawa jerayawara berkenaan dihasratkan untuk mengongsi status perlaksanaan dan seterusnya untuk mendapatkan maklum balas serta input sebelum ianya dilaksanakan secara terbuka kepada orang ramai.

Awang Harun menerangkan bahawa dari segi pelan pelaksanaan format baru berkenaan, pada 28 November lalu telah diadakan jerayawara di peringkat kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya, pada Disember hingga awal 2013, meneruskan jerayawara di seluruh negara dengan sasaran untuk melancarkan produk-produk baru SPD pada awal 2013 nanti.

Manakala itu dari segi keperluan utama untuk pelaksanaan format baru berkenaan memerlukan Akta dan Peraturan Lalu lintas Jalan raya, perkakasan bahan guna pakai, integrasi perisian, sistem online, sumber tenaga manusia, kemudahan kaunter termasuk penerimaan permohonan dan proses pengeluaran produk serta penghantaran.

Seperti yang diterangkan pada taklimat yang sama baru-baru ini dibeberapa daerah, terdapat beberapa perbezaan di antara format lama dengan format baru bagi ketiga-tiga produk terbaru itu iaitu bagi lesen memandu format lamanya adalah jenis kertas, mudah rosak, hilang dan pudar, tiada gambar serta mudah ditiru dan disalah gunakan manakala bagi format baru ianya adalah jenis plastik, ada gambar pemilik, mempunyai ciri keselamatan menggunakan kod bar dan mikro-cip serta tahan lebih lama.


Manakala bagi lesen kenderaan pula, format lama adalah jenis kertas, bukan kalis air dan mudah ditiru dan disalahgunakan manakala bagi format baru, ianya adalah jenis plastik, kalis air, akan koyak jika dipindah serta mempunyai kod bar.

Sementara itu, bagi buku pendaftaran kenderaan pula, format lama adalah berbentuk kad, bersaiz besar, perlu dicop, mudah koyak dan mudah ditiru dan disalah gunakan manakala bagi format baru ianya bersaiz buku pasport, bersaiz kecil dan mudah disimpan, lebih ruang untuk maklumat serta maklumat dicetak bukan secara manual.

Ketiga-tiga format baru itu akan dilancarkan pada awal 2013 dengan format baru dilaksanakan secara berperingkat iaitu bermula dari Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya, pemandu-pemandu baru lulus serta pemilik-pemilik lesen yang mansuh.

Permohonan bagi format baru itu boleh dibuat di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Darat, Beribi, cawangan-cawangan JPD daerah dan Litar Memandu Sungai Akar serta pejabat pos setelah pelancaran rasmi produk SPD dijangka dilaksanakan pada awal 2013 nanti.

Permohonan boleh dibuat dengan dua cara iaitu melalui kaunter dan secara online di mana bagi permohonan pertama pemilik hendaklah datang ke kaunter untuk bergambar dan bagi pemohon secara online nanti, boleh memilih penghantaran melalui pos atau datang terus ke kaunter JPD bagi mendapatkan lesen memandu.

Dokumen-dokumen yang diperlukan semasa membuat permohonan bagi ketiga-tiga format baru berkenaan adalah termasuk lesen memandu asal, kad pengenalan, kad pendaftaran kenderaan asal dan dokumen-dokumen sokongan jika diperlukan seperti surat pengesahan jabatan, laporan polis dan laporan pemeriksaan kesihatan.

Harga yang perlu dibayar bagi format baru itu adalah bagi lesen memandu permohonan bagi tempoh setahun adalah $10, tiga tahun sebanyak $30, lima tahun sebanyak $50 dan 10 tahun adalah $100. Bagi lesen kenderaan adalah mengikut sifir perkiraan lama dan jika hilang atau rosak dikenakan bayaran $10 manakala bagi Pendaftaran Kenderaan pula, bayaran $10 setiap satu permohonan baru dan bayaran $50 jika hilang atau rosak bagi wakil pengedar kenderaan. 

Tempoh proses bagi setiap permohonan iaitu bagi Lesen Memandu adalah tidak melebihi dua minggu, Lesen Kenderaan adalah sebaik selesai permohonan dibuat dan bagi Buku Pendaftaran Kenderaan adalah tidak melebihi seminggu.