Tuesday, July 28, 2026

 


BRUNEI - BYD Brunei secara rasminya telah memperkenalkan model baharu mereka, BYD Atto 2, untuk pasaran tempatan pada harga bermula BND$27,900 bagi pelanggan awal yang membeli kereta tersebut.


BYD ATTO 2 menarik perhatian ramai kerana menawarkan gabungan teknologi kenderaan elektrik plug-in hybrid (PHEV) dengan teknologi DM-i Super Hybrid yang berkeupayaan mencatatkan jarak pemanduan melebihi 1,000 kilometer dalam satu isian tangki dan pengecasan penuh. Ini termasuk sistem ADAS untuk memberi keselamatan penuh semasa memandu.

Majlis pelancarannya dirasmikan oleh Pengarah Urusan Maju Motors, Chan Key Hong bersama Pengarah Urusan BYD Singapura dan Filipina, James Ng yang turut sama-sama menyempurnakan pelancaran.

Dalam ucaptama Chan Key Hong, beliau menyampaikan mengenai pencapaian BYD Brunei serta kedatangan model-model terbaru yang akan memasuki pasaran Brunei tidak lama lagi. Lebih 300 menghadiri majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan cabutan bertuah bagi para pengunjung, pelanggan, pihak media.

​BYD Atto 2 dibina berasaskan reka bentuk SUV kompak yang moden dan praktikal untuk kegunaan harian. Kenderaan ini dilengkapi dengan teknologi Bateri Blade ciptaan BYD yang terkenal dengan tahap keselamatan tinggi serta ketahanan haba yang cemerlang.

Di bahagian dalam, ia menampilkan skrin maklumat hibur yang boleh diputar, kesambungan pintar, sokongan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) untuk membekalkan kuasa elektrik kepada peranti luar, serta pelbagai ciri bantuan pemanduan keselamatan termaju bagi keselesaan pemandu dan penumpang.